Intipati Dasar Automotif Negara (NAP) 2014


Sumber dari Berita Harian [2014/01/20 - 16:19:59 PM]

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mengumumkan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 di Menara MATRADE, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Berikut ialah inti pati Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 yang dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini:

Objektif:
  • Mempromosi industri automotif domestik secara kompetitif dan berkekalan. Mentransformasikan Malaysia sebagai hab automotif bagi kenderaan cekap tenaga (EEV)
  • Mempromosi aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi
  • Memperkukuh eksport kenderaan dan komponen 
  • Menggalakkan penyertaan syarikat Bumiputera dalam rangkaian nilai industri automotif domestik    
  • Melindungi kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang lebih selamat dan berkualiti pada harga kompetitif.
  • Secara keseluruhan, NAP 2014 menyediakan pakej pembiayaan berjumlah kira-kira RM2 bilion, serta langkah dan pelan pelaksanaan untuk merealisasikan NAP 2014
  • NAP 2014 menyasarkan sekurang-kurangnya 200,000 unit kereta dieksport manakala eksport komponen akan mencecah nilai minimum RM10 bilion pada 2020 
  • Kerajaan membuka kemungkinan untuk mengurangkan duti eksais secara berperingkat-peringkat apabila keadaan fiskal membenarkan.
  • Bagi Permit Import (AP), kerajaan memutuskan untuk membuat kajian mendalam bagi menilai impak penamatan penyertaan Bumiputera dalam industri auto.
  • NAP 2009 membuat ketetapan spesifik untuk menamatkan AP terbuka pada 31 Disember, 2015 dan AP francais pada 31 Disember, 2020.

Kandungan:

Pengurangan harga kereta
  • Rangka kerja pengurangan harga kereta sudah disediakan sebagai memenuhi janji penurunan berperingkat-peringkat antara 20 peratus dan 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
  • Lebih banyak model dan varian kereta nasional baharu akan diperkenal pada harga kompetitif tahun ini.
  • NAP 2014 akan menyaksikan asas model baharu yang lebih besar diperkenal dalam pasaran domestik. Model-model ini bukan sahaja lebih mesra alam, malah lebih selamat.
  • Kerajaan sentiasa menyemak semula kedudukan fiskal dan terbuka kepada sebarang kemungkinan pengurangan duti eksais apabila kedudukan fiskal membenarnya.
  • Model seperti Siri Saga SV, Persona SV, Viva, Alza dan MyVi, Honda Jazz dan Nissan Almera baru diperkenalkan pada harga yang lebih rendah antara tiga dan 17 peratus. Model ini menyumbang 30 peratus daripada penguasaan pasaran pada 2013.

Kenderaan Cekap Tenaga (EEV)
  • Malaysia akan menjadi hab kenderaan cekap tenaga (EEV). Ini meliputi strategi dan langkah bagi memperkukuh keseluruhan rangkaian nilai industri automotif yang juga akan menjurus kepada pemuliharaan alam sekitar, pewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi, pemindahan teknologi dan mewujudkan peluang baharu ekonomi untuk syarikat tempatan.
  • EEV termasuk kenderaan cekap tenaga, hibrid, kenderaan elektrik dan kenderaan yang menggunakan bahan api alternatif. - BERNAMA

    Comments